Wednesday, September 22, 2010

Hikmah

Assalamualaikum.
Alhamdulillah sekali lagi peluang untuk saya meneruskan dakwah saya melalui tulisan di blog saya yang tidak seberapa ini. Allah Tuhan yang maha Adil lagi maha bijaksana dan Dia tahu apa yang terbaik buat diri kita dan apa yang tidak baik untuk diri kita.

Allah juga menjadikan kita dengan penuh hikmah dan kebaikan. Namun kita jarang nampak atau perasan atas nikmat dan hikmah yang diberikan Allah kepada kita. Allah adalah Sang Pencipta. Dia seharusnya dan semestinya mengetahui apakah yang terbaik untuk ciptaan-Nya. Cuba anda lihat, apakah hikmah Allah meberikan anda 2 tangan, 2 kaki dan semua anggota badan yang anda ada sekarang ? Sudah tentu ia mempunyai hikmah yang sangat banyak kepada diri kita.

Kita selalu diberi peluang oleh Tuhan untuk melihat kebesaran-Nya dengan kekuasaan yang Dia tunjukkan kepada manusia, namun kita jarang dan adakala tidak langsung mengambil hikmah yang ditunjukkan Allah kepada kita. Contohnya, apa yang berlaku di Palestin dan negara-negara Islam yang lain. Keadaan mereka kucar-kacir dengan pelbagai musibah Allah berikan kepada mereka. Apakah kita tidak mahu menjadi hamba yang bersyukur dengan keamanan dan ketenangan yang Tuhan telah berikan kepada kita ? Malah ada di antara manusia kini tidak bersyukur dengan nikmat daripada Tuhan kerana mereka sering kali melanggar perintah Tuhan dan tidak bersyukur dengan nikmat-Nya.

Saya tertarik dengan Khutbah Rasulullah yang pertama di Madinah bahawa baginda pernah bersabda :

"Daripada Ibnu Jarir mengatakan bahawa Yunus b Abdul-A'la memberitahunya dari Ibnu Wahab dari Sa'id b Abdul Rahman Al-Jumahi bahawa dia mendengar khutbah baginda yang pertama dan Rasulullah berpesan, "Barangsiapa yang mentaati Allah dan Rasul-Nya , maka mereka telah lurus. Dan barangsiapa yang medurhakai-Nya, mara mereka telah melampaui batas dan sesat dengan jelas."

Menurut hasith diatas, Rasulullah berpesan kepada ummat manusia khususnya umat Islam supaya mentaati Allah dan Rasul-Nya supaya kita sentiasa berada dalam keadaan yang elok dan selamat dari sebarang kesesatan. Bagaimana cara untuk kita mentaati Allah dan Rasul-Nya ? Caranya mudah, buat apa yang diperintahkan dan tinggalkan apa yang dilarang. Mudah bukan ? Ambil peluang yang masih ada untuk kita terus beramal dan beribadat untuk mendapat keredhaan Allah dan Rasul-Nya.

Sering saya perhatikan teman-teman yang masih bersekolah terutamanya. Saya lihat, ramai yang telah lalai dengan nikmat yang diberikan. Nikmat senang dan nikmat lapang menyebabkan ramai yang lupa, TUHAN ITU WUJUD. Ihsan! Ya! Itu yang dilupai oleh umat Islam kini. Ihsan bermaksud beramal seolah-olah kamu melihat Allah, dan sekiranya kamu tidak nampak Allah, maka YAKINLAH Allah itu sentiasa nampak dan lihat kamu. Ya! Tuhan sentiasa dengan kita. Namun kita, apakah sentiasa dengan Tuhan ? Tepuk dada anda, tanyalah iman di dalam diri anda.

Rasulullah ketika hayat baginda seirng mengingatkan kita supaya bertaqwalah kepada Allah. Ingatlah kepada-Nya selalu. Saya ambil lagi kata-kata daripada baginda :

"Bertaqwalah kepada Allah dalam masalah dunia dan akhirat kalian, baik yang rahsia mahupun yang terang terangan kerana,

'.....Barang siapa yang bertaqwa kepada Allah, nescaya Dia akan menghapus kesalahan-kesalahannya dan akan melipat gandakan pahala baginya.'
[Ath-Thalaaq : 5]

Itulah janji Allah kepada kita. Jika kita bertaqwa, maka diampunkan dosa kita malah ditambah dengan pahala yang berganda. Siapa yang tidak mahu ganjaran seperti itu ? Jika ada yang tidak mahu, maka dia amat-amatlah rugi. Na'uzubillah min zaalik. Tetapi, apa yang saya perhatikan, manusia kini seolah-olah tidak yakin dengan ganjaran yang dijanjikan Tuhan. Mengapa ya ?

Contonhya, andaikata Tuhan tukarkan pahala itu dengan duit satu ringgit. Siapa yang melakukan kebaikan, akan dapat satu ringgit. Saya yakin, tidak ada yang sanggup melakukan kejahatan mahupun melakukan perkara-perkara yang jahil. Jika Tuhan kata, siapa solat, dapat satu ribu ringgit. Saya yakin, di masjid, di surau malah di rumah, tiada henti orang solat demi mendapatkan ganjaran daripada Tuhan. Tetapi kini, Allah kata, nikmat itu semua akan datang pada waktu akhirat nanti. Apakah kita tidak yakin dengan janji-Nya itu ? Malah ada juga yang mendapat manfaat dengan kebaikan yang dilakukan di dunia. Contohnya, orang yang rajin solat. Hikmahnya di dunia, dia akan mendapat ketenangan dalam menjalankan kehidupan seharian. Malah tiada rasa sedikit susahpun dalam melaksanakan kebaikan dan amal-amal soleh.

Sebagai tnada rasa syukur kita kepada Allah, ayuhlah kita bawa diri kita kepada Allah dengan melakukan ibadat kerana-Nya, Lillahita'ala. Yakinlah kita dengan nikmat daripada Allah S.W.T, Rabbul Jalal. Usah ragu dengan janji-Nya. Sesungguhnya Tuhan tidak pernah memungkiri janji.
Letakkan sayang kita yang tertinggi untuk Allah dan Rasulullah. Cintakan mereka lebih dari diri anda sepertimana kisah Umar Al-Khattab yang mengaku mengasihi baginda melebihi daripada dirinya, keluarganya dan hartanya. Subhanallah. Hebat sungguh mereka meletakkan cinta kepada Kekasih Allah itu. Sepertimana Abu Bakar As-Siddiq yang tidak sanggup melihat Rasulullah terjaga sewaktu berhijrah di dalam Gua Thur. Allahuakbar. Ingin saya menjadi dan mendapat sahabat seperti Abu Bakar As-Siddiq dan Umar Al-Khattab yang menjaga ukhwah sesama muslim dan silaturrahim dengan muslim yang lain.

Akhir kalam, buang yang keruh, ambillah yang jernih. Teruskan usaha kita untuk mendapat kasih sayang Allah. Teruskan ibadat kita untuk mencari redha Allah. Teruskan berukhwah untuk mendapat keredhaan Allah. Yakinlah! Yakinkan diri kita dengan janji Allah. Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud :

"Sampaikanlah daripadaku walaupun sepotong ayat." [H.R Bukhari & Muslim]

Barakallahu fikum. Semoga dengan artikel saya pada kali ini memberi manfaat kepada diri kita serta diri saya sendiri. Moga ddapat diambil sedikit pengajaran dengan artikel ini. Aku bersaksi ALLAH itu Tuhan yang layak disembah, Muhammad itu Rasul utusan Allah. Yang baik datang daripada Allah dan yang tidak baik datang hasil daripada kelemahan diri saya sendiri. Sayang Allah, Sayang Rasulullah, sayang Islam, sayang keluarga dan sayanglah sahabat-sahabat anda.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

FAHIMI INDRA PRAMANTA B DIRI INDRA

Monday, September 13, 2010

Remaja

Assalamualaikum.
Syukur Alhamdulillah kita masih berpeluang untuk melihat keindahan alam ciptaan Allah. Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan yang layak disembah melainkan Allah dan Aku bersaksi Nabi Muhammad itu Pesuruh Allah. Sesungguhnya solatku, amalanku, hidupku, matiku, hartaku segalanya untuk-Mu Ya Allah.

Allah Berfirman :

"Dan orang-orang yang mahu menerima petunjuk, Allah menambah petunjuk kepada mereka dan memberikan balasan ketaqwaannya." (Muhammad : 17)

Allah berjanji akan memberi hidayah kepada sesiapa sahaja yang ingin mendapatkan hidayah-Nya. Manusia akan mendapat hidayah jika mereka mempunyai ijtihad di dalam hati untuk mendapatkan hidayah itu. Apa yang mudah disimpulkan melalui ayat ini, jika kita inginkan hidayah, kita perlulah berusaha untuk mencari hidayah itu dengan cara menuntut ilmu supaya mendekatkan diri kita kepada Sang Pencipta iaitu Allah.

Kini saya lihat terlalu banyak kisah atau masalah sosial yang berkaitan dengan remaja. Dan diantaranya ialah seperti yang telah saya huraikan di dalam tajuk saya yang sebelum ini. Selain itu, saya perhatikan ramai remaja terutamanya perempuan kebanyakkannya tidak menjaga aurat mereka dengan baik. Ada yang bertudung, tetapi baju dan seluarnya ketat hingga menampakkan bentuk badan. Ada yang terus tidak bertudung. Ada juga yang bertudung dan memakai baju kurung tetapi menampakkan dada mereka. Ada juga menutup aurat tetapi bersolek semata-mata untuk melihatkan kecantikan. Hal ini salah disisi Islam. Islam tidak melarang kaum hawa untuk bersolek dan mengenakan pakaian-pakaian yang cantik-cantik tetapi yang layak melihat aurat mereka hanyalah ahli keluarga dan suami mereka. Ingin lebih jelas ? Lihat ayat dibawah :

"Katakanlah kepada wanita yang beriman: "Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak dari padanya. Dan hendaklah mereka menutupkan kain kudung kedadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya kecuali kepada suami mereka, atau ayah mereka, atau ayah suami mereka, atau putera-putera mereka, atau putera-putera suami mereka, atau saudara-saudara laki-laki mereka, atau putera-putera saudara lelaki mereka, atau putera-putera saudara perempuan mereka, atau wanita-wanita islam, atau budak-budak yang mereka miliki, atau pelayan-pelayan laki-laki yang tidak mempunyai keinginan (terhadap wanita) atau anak-anak yang belum mengerti tentang aurat wanita. Dan janganlah mereka memukulkan kakinyua agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan. Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, hai orang-orang yang beriman supaya kamu beruntung. "
(An-Nuur : 31)


Jelas sudah orang layak melihat aurat bagi perempuan. Jadi mengapa masih lagi ada yang berani melanggar hukum dan mengabaikan garis panduan yang telah ditentukan Allah ? Apakah kita tidak pernah bersyukur ? Jangan jadi orang yang tidak bersyukur dengan nikmat yang diberikan oleh Allah. Ingatkah kamu wahai kaum wanita dengan azab yang dijanji Allah kepada kaum wanita yang tidak menjaga auratnya ? Di akhirat nanti, ada yang dibakar buah dadanya, ada yang diberi minum dengan air yang menggelegak, diberi makan daging yang busuk. Na'uzubilLah. Tidak tergambar dengan mata azab Allah yang sangat pedih.

Di dalam kes yang lain pula. Saya sentuh sedikit tentang lelaki. Ada lelaki yang tidak bertanggungjawab dan tidak amanah atau lebih mudah tidak menjalankan amanah sepertimana yang telah diamanahkan oleh Allah. Contohnya, saya kecilkan skop pemikiran kita, di sekolah. Tugas seorang pelajar tidak kisah lelaki atau perempuan adalah untuk belajar dan menuntut ilmu. Dan tugasan extra bagi pelajar lelaki yang bergelar pengawas @ ketua pelajar di sekolah ialah memikul tanggungjawab yang besar untuk membantu guru menjaga dan mengawal sekolah. Apakah anda sedar amanah yang sedang anda pikul itu berat sebenarnya ? Imam Al-Ghazali pernah berkata :

"Perkara yang paling berat ialah amanah."

Apakah itu masih lagi tidak cukup jelas bagi kamu wahai kaum lelaki ? Dan saya juga yakin, kebanyakkan lelaki ingin menjadi seorang suami dan bapa apabila sampai pada waktu yang sesuai bukan ? Sebagai seorang bapa, kaum adam haruslah memberi nafkah yang secukupnya kepada tanggungan anda. Bukan dari segi kewangan sahaja, tetapi dari segi ilmu agama juga. Seorang bapa seharusnya mengajar anaknya solat, mengaji, berpuasa dan mengenali Islam dengan lebih mendalam, tidak kira samada dia sendiri yang mengajar anaknya atau menghantar anaknya mempelajari ilmu agama sebaiknya. Tugas ibubapa terhadap anak-anaknya memang sangat berat. Ibubapalah yang akan membentuka anak-anak mereka samada menjadi baik ataupun tidak. Rasulullah S.A.W pernah bersabda :

"Tiap bayi yang dilahirkan adalah suci (Fitrah-Islami). Ayah dan ibunyalah kelak akan menajadikannya Yahudi, Nasrani ataupun Majusi (menyembah api)"
[H.R Bukhari]

Tinggi bukan tugas sebagai ibu dan bapa ? Di sini ada beberapa tips untuk mendidik anak-anak. Moga ilmu yang dikongsi penulis boleh menjadi panduan bagi yang belum berkahwin dan telah berkahwin.

Saya teruskan lagi dengan masalah-masalah remaja kini. Kebanyakkan remaja kini lebih berminat dengan hiburan yang melalaikan. Contohnya lagu-lagu yang melekakan, cerita-cerita yang disiarkan tidak menepati cara perspektif Islam yang sebenar dan penggunaan laman sosial yang tidak terkawal.

Hiburan - Lagu

Islam tidak melarang kita berhibur. Tetapi berhibur mengikut cara Islam ada guideline yang telah ditentukan. Sedang Rasulullah sendiri pernah berhibur, sedang Rasulullah sendiri pernah bergurau untuk berhibur. Tetapi jika kita ingin berhibur hendaklah mengikut tuntutan agama Islam. Contohnya mendengar lagu yang mendekatkan kita dengan Tuhan dan tidak menyebabkan kita lupa dan leka kepada Allah tidak menjadi masalah kepada kita untuk berhibur. Selagi tidak bercampur lelaki dan perempuan yang bukan mahram, selagi tidak mendedahkan aurat, selagi tidak melekakan kita daripada Allah, selagi tidak mendekatkan kita kepada maksiat dan zina, itu masih lagi dibenarkan oleh Islam.

Hiburan - Drama

Kini kebanyakkan program di televisyen tidak memberi kesan yang positif terhadap pembentukan sahsiah remaja. Saya perhatikan drama-drama di televisyen lebih cenderung ke arah kerosakkan remaja. Memang ada rancangan seperti Al-Hidayah, Halaqah dan sebagainya tetapi program sebegitu sangatlah sedikit berbanding dengan drama-drama cinta dan khurafat. Drama cinta yang mana kebiasaannya akan berlaku scene pegang memegang antara lelaki dan perempuan adegan cium (Hollywood) dan aurat artis perempuan didedahkan dengan begitu mudah. Dengan mudah dosa melihat aurat bukan mahram telah kita dapat dengan cara yang sangat mudah. Kalau tanya saya, apakah punca masalah sosial kini ? Saya akan jawab antara puncanya ialah TELEVISYEN.

Laman Sosial

Penggunaan laman sosial kini semakin berleluasa dikalangan remaja kini amat popular. Todak cukup dengan Friendster, dikembang kepada MySpace dan Facebook. Entah lepas ini apa pula perancangan 'mereka' untuk menjatuhkan Islam. Mudah sahaja modus operandi Yahudi melalui laman sosial ini, mereka membuat pelbagai application yang menarik dan sekaligus menarik remaja untuk leka bermain dan melekat di laman sosial tersebut. Hal ini terbukti apabila remaja memang semakin ramai di CC yang mana mereka sanggup menghabis RM2.50 untuk laman sosial dan games. Lihatlah saudaraku betapa mudahnya Isla ditewaskan dengan internet dan alam maya. Di laman sosial juga berlakunya dosa-dosa kering yang mana MAJORITI kaum hawa meletakkan gambarnya di laman atau di profilenya untuk tatapan umum. Tindakan itu adalah haram atas hujan saya yang telah saya nyatakan di sini.

Jadi sebagai kesimpulannya, remaja Islam kini semakin hanyut dengan kemewahan dan dunia. Mereka lupa dengan janji Allah di akhirat kelak. Ingatlah saudaraku, saya bukan ingin menunjuk saya ini terlalu baik atau apa sahaja yang bermain diminda kamu sekarang, tetapi tujuan saya mengingatkan kamu kepada Allah S.W.T yang telah menjadikan kamu sebagai manusia yang sempurna kejadiannya. Allah S.W.T berfirman :

"Sesungguhnya Kami telah menjadikan manusia dengan bentuk yang sebaik-baiknya." (At-Tiin : 4)

Allah Maha Adil. Dia juga Maha Penyayang. Terserah pada kita untuk buat apa sahaja tetapi ingat! Allah Mengetahui tiap sesuatu. Allah S.W.T berfirman :

"Sesungguhnya berjayalah orang yang berusahah membersihkan diri (dengan iman), dan menyebut-nyebut (dengan lidah dan hatinya), akan nama Tuhannya serta mendirikan solat (dengan khusyuk). Tetapi kamu (orang yang kafir) memilih dan menyayangi kehidupan duniawi padahal hal akhirat lebih baik dan lebih kekal." (Al-A'aala : 14-17)

Saya akhiri kalam saya dengan AstaghfirulLahal 'azim. Segala yang baik daripada Allah dan yang buruk atas kesilapan diri saya sendiri. Assalamualaikum. Moga mendapat manfaat.


Fahimi Indra



Saturday, September 11, 2010

Fenomena Couple

Assalamualaikum.
Salam Aidilfitri buat rakan-rakan seperjuangan serta muslimin dan muslimat yang dirahmati Allah sekalian. AlhamdulilLah kita telah dikurniakan kekuatan untuk terus berpegang kepada Islam dan masih lagi mempunyai keyakinan yang tinggi untuk meletakkan Allah sebagai Tuhan yang Maha Esa dan Rasulullah S.A.W sebagai Pesuruh Allah yang dikasihi.

Berulang kali saya perhatikan dunia yang kini semakin huru-hara. Pelbagai fitnah, tohmahan, penindasan dan kawalan yang berlaku keatas umat Muhammad S.A.W. Saya sedih dengan keadaan syabab Islam yang kini semakin leka dengan dunia. Saya amat sedih. Bila Islam hanya diletakkan dan dizahirkan sebagai agama namun batin dan di dalam tidak begitu. Islam pada nama sahaja namun tidak pada hati.

Mudah untuk saya simpulkan sedikit dengan masalah remaja kini. Bermula dengan gejala couple yang entah dari mana datangnya. Gejala ini dilihat mudah oleh remaja-remaja dan pemuda-pemuda kini. Sedang ada yang berilmu agama sendiri mengiyakan gejala couple ini dan menyebabkan remaja-remaja kebanyakkannya memikirkan gejala ini dibolehkan dalam Islam. Ingin saya tegaskan disini, tiada langsung istilah couple di dalam Islam. Perlu kita sedar, Islam menyediakan method untuk ummatnya berkeluarga. Couple bukanlah satu jalan yang baik untuk kita. Malah gejala ini merupakan satu kunci untuk merosakkan ummat Islam kini. Saya boleh buktikan mengapa couple itu haram. Ini buktinya :

Daripada Ibnu 'Abbas r.a berkata : Saya mendengar Rasulullah S.A.W bersabda : "Janganlah seorang lelaki berdua-duaan (khalwat) dengan seorang perempuan yang bukan Mahramnya."
(H.R Bukhari dan Muslim)

Daripada Jabir b Samurah berkata : Rasulullah S.A.W bersabda : "Janganlah salah seorang daripada kalian berdua-duaan dengan seorang wanita, kerana syaitan akan menjadi yang ketiganya. (H.R Ahmad & Tirmidzi)

Maka dengan peringatan dan pesanan Rasulullah di atas maka terbuktilah bahawa couple itu hukumnya HARAM. Namun, mereka yang berada di dalam permainan syaitan masih lagi mencari jalan untuk menyelamatkan diri. Kata mereka : "Apa yang haramnya ? Kami tak pernah jumpa malah kalau kami berjumpa pun, kami selalu bertukar-tukar pendapat tentang pelajaran dan agama. Malah kami selalu membaca Al-Quran bersama-sama. Kami juga selalu memberi tazkirah sesama kami supaya kami tidak lupa pada Allah."

Jika berkenaan situasi diatas, ada beberapa jawapan yang popular pernah saya tanya pada golongan-golongan ilmuwan dan ustaz-ustaz serta yang pernah saya terbaca. Namun saya mempunyai jawapan yang kukuh mengapa ia tetap haram walaupun masih melakukan perkara-perkara yang baik seperti membaca Al-Quran dan Belajar.

Jawapannya mudah. Allah S.W.T berfirman di dalam Al-Quran dalam Surah Al-Isra' ayat 32 yang bermaksud :

"Dan jangnlah kamu mendekati zina, sesungguhnya zina itu satu perbuatan yang keji. Dan jalan yang buruk."

Dengan turunnya ayat diatas kepada Rasulullah, hal ini terbukti bahawa couple itu haram kerana ia mendekatkan kita kepada zina. Zina adalah satu perkara yang amat keji sepertimana Allah telah berfirman diatas. Sedang Allah telah meletakkan hukum pergaulan untuk lelaki dan perempuan didalam Al-Quran :

a) Batas pergaulan untuk lelaki :

"Katakanlah kepada orang laki-laki yang beriman: "Hendaklah mereka menahan pandanganya, dan memelihara kemaluannya; yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka perbuat." (An-Nuur : 30)

b) Batas pergaulan untuk perempuan :

"Katakanlah kepada wanita yang beriman: "Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak dari padanya. Dan hendaklah mereka menutupkan kain kudung kedadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya kecuali kepada suami mereka, atau ayah mereka, atau ayah suami mereka, atau putera-putera mereka, atau putera-putera suami mereka, atau saudara-saudara laki-laki mereka, atau putera-putera saudara lelaki mereka, atau putera-putera saudara perempuan mereka, atau wanita-wanita islam, atau budak-budak yang mereka miliki, atau pelayan-pelayan laki-laki yang tidak mempunyai keinginan (terhadap wanita) atau anak-anak yang belum mengerti tentang aurat wanita. Dan janganlah mereka memukulkan kakinyua agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan. Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, hai orang-orang yang beriman supaya kamu beruntung. "
(An-Nuur : 31)


Allah telah menentukan apakah yang patut dilakukan oleh lelaki dan perempuan bagi memelihara kemaluannya yakni maruah dirinya daripada diceburi dan dicabuli. Ingin juga saya tekankan disini, ada segelintir pelajar yang duduk dengan perempuan untuk belajar dan untuk belajar. Kata mereka, "Kami nak belajar pon takkan tak boleh?". Ini adalah ayat untuk menyelematkan diri mereka. Tetapi ingatlah saudaraku, kamu selamat di dunia, namuntidak dihadapan Allah. Saya yakin, pada mulanya memang niat kamu ingin menimba ilmu, lagipun hanya perempuan atau lelaki itu sahaja yang bijak dan mahir dalam topik pelajaran itu. Percaya atau tidak dihati kamu akhirnya nanti dihasut syaitan Laknatullah untuk melakukan atau membayangkan pasangan kamu itu melakukan perkara-perkara yang bukan-bukan? Na'uzubillah Min zalik. Ingatlah saudaraku, syaitan itu sentiasa mencari jalan untuk merosakkan umat Islam. Dan antara sebab yang lain, apabila kamu belajar dengan seorang perempuan yang bukan muhrim, maka fitnah akan berlaku. Fitnah yang besar akan berlaku keatas dirimu sedang kamu niat hanya untuk belajar. Itulah hikmahnya Allah melarang kita untuk berdua-duaan lelaki dan perempuan bukan mahram.

Di dalam situasi study group pula. Ya, ada guru yang meletakkan study group dengan perempuan akan mendatangkan hasil yang baik kepada seorang lelaki. Lelaki akan terasa tercabar dengan perempuan. Tetapi sedarkah kamu wahai golongan pendidik bahawa kamu telah meletakkan anak muridmu sebagai 'kambing hitam' untuk mereka melakukan maksiat. Apakah kamu sudah lupa tugasmu sebagai pendidik ? Sepatutnya kamu sendiri yang perlu mendidik anak muridmu, bukan anak muridmu belajar dengan seorang pelajar yang lain yang bukan Mahramnya. Atau dengan lebih mudah, pada pandangan saya, perlukah lelaki dan perempuan study bersama (studygroup)? Tidakkah Allah telah menjadikan setiap manusia yang sama jantinanya dengan kepandaian dan kebijaksanaan masing-masing yang berlainan? Tidakkah ini akan mendekatkan mereka kepada zina ? fikirlah kamu wahai pendidik. Sesungguhnya Allah telah melantikmu sebagai pendorong mereka untuk berjaya. Ingatlah amanahmu. Dan pelajar pula, jika kamu hendak mencari Ilmu, maka kamu perlu mencarinya, bukan menunggu Ilmu datang bergolek kepadamu. Atau dengan lebih mudah, carilah gurumu untuk belajar, bukan guru mencarimu untuk mengajarmu.

Pesanan terakhir saya untuk tajuk kita pada hari ini, jangan jadikan sesuatu yang baik itu sebagai batu loncatan bagi dirimu untuk melakukan maksiat dan untuk kamu mendekati zina. Ilmu itu penting bagi kita sebagai seorang Muslim. Rasulullah S.A.W pernah bersabda :

"Ilmu tanpa amal umpama pohon tanpa buah"

Jika kamu menjadikan ilmu itu sebagai 'kambing hitam' untuk kamu melakukan maksiat, maka ingatlah azab Tuhanmu yang amat-amat pedih. Jadilah kamu golongan yang menegakkan agama Allah (Islam). Yakinlah dengan janji Allah iaitu :

"Hai orang-orang mukmin, jika kamu menolong (agama) Allah, niscaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu." (Muhammad : 7)

Dengan itu saya akhiri artikel saya pada kali ini dengan Astaghfirullahal 'azim. Yang baik segala-galanya daripada Allah dan yang buruk hadirnya dari kelemahan diri saya sendiri. Assalamualaikum.